Friday, August 27, 2010
Wednesday, August 25, 2010
HARIAN METRO - 25 OGOS 2010 -SETEMPAT
PETALING JAYA: Lebih setahun dia menghilangkan diri namun pakar ‘putar belit’ yang pernah bergelar pengurus artis, memiliki syarikat berkaitan industri hiburan dan menubuhkan beberapa kumpulan nasyid sejak 2004 demi memperalatkan industri untuk mendapatkan habuan penipuan akhirnya dicekup polis kelmarin.
Difahamkan, lelaki digelar Mr S yang berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di ibu kota selepas memperdayakan pelajar di situ untuk menjadi rakan kongsi syarikatnya.
Metro Ahad pada 22 Mac 2009 pernah melaporkan Mr S menggunakan taktik cukup mudah iaitu menubuhkan kumpulan, syarikat atau menguruskan artis tertentu, kemudian menjaja nama artis terbabit untuk menarik mangsanya melabur sejumlah besar wang dengan janji kononnya wang itu akan berganda apabila projek membabitkan artisnya berjaya.
Antara mangsanya ialah penyanyi, Waheeda, kumpulan nasyid Devotees dan Nice serta kumpulan Infinatez.
Namun, berdasarkan mangsa terakhirnya sebelum dicekup polis, Mr S bukan saja meletakkan industri hiburan sebagai sasarannya malah pelajar dengan menawarkan penubuhan syarikat sewa kereta.
Pelajar itu, Ilyas Ismail, 21, berkata Mr S menyambung pelajaran di universiti tempat dia belajar Mac lalu kononnya sebagai syarat kenaikan pangkat selepas berkhidmat di sebuah syarikat penerbangan.
“Dia mendakwa baru berusia 28 tahun dan memerlukan ijazah untuk kenaikan pangkat, namun dalam kesibukannya sebagai pelajar, tiba-tiba Mr S menawarkan kepada semua rakan sekelas untuk membuka perniagaan dengannya sama ada homestay, bistro atau sewa kereta dan meminta sesiapa yang berminat menyediakan wang sebanyak RM10,000,” katanya yang ditemui semalam.
Menurutnya, hanya dia yang berminat untuk menyertai perniagaan kereta sewa itu kerana percayakan penampilan lelaki itu yang lemah-lembut dan baik. “Mulanya, dia menggunakan nama saya untuk membuat pinjaman bank bagi membeli kereta sebanyak RM33,000, namun duit saya sedikit demi sedikit dikebas atas pelbagai sebab seperti servis kereta dan mendapatkan lesen daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedangkan kereta itu saya tidak pernah nampak manakala semua dokumen penubuhan syarikat tidak wujud.
“Selepas menjalankan pemeriksaan, saya dapati dia sudah menipu ramai orang menyebabkan saya berusaha mengesan dan mengambil semula kereta dibeli atas nama saya itu di kediamannya di Muar, Johor,” katanya.
Seorang usahawan, Azman Hafiz, 30, berkata dia kerugian RM20,000 selepas terpedaya menjadi rakan kongsi Mr S menubuhkan sebuah syarikat pengurusan acara tahun lalu.
“Atas dasar percaya, saya serahkan RM20,000 kepadanya untuk membuka syarikat dan kami mendapat kontrak menguruskan acara untuk sebuah syarikat di utara tanah air. “Acara itu berjalan lancar, tetapi selepas itu banyak pihak menuntut hutang daripada saya kerana pengangkutan tidak dibayar, penginapan tidak dibayar, sistem audio tidak dibayar dan artis yang membuat persembahan juga tidak dibayar. Saya cuba mencari Mr S, tetapi dia menghilangkan diri,” katanya.
Menurutnya, dengan tertangkapnya lelaki itu, hatinya cukup lega selepas lebih setahun mengesan lelaki itu.
“Berdasarkan apa yang saya tahu, lebih 20 individu di beberapa negeri menjadi mangsa penipuan lelaki itu. Sekarang saya berharap mangsa dapat tampil untuk membantu siasatan polis dan memastikan kita semua mendapat keadilan,” katanya.
Bekas pembantu kepada pemilik sebuah syarikat penerbitan album pula berkata, bekas majikannya kerugian sebanyak RM1.3 juta di tangan Mr S yang akhirnya mengakibatkan syarikat itu tutup.
“Walaupun saya hanya pekerja di syarikat itu namun kesan penipuannya menyebabkan gaji kami tidak dapat dibayar dan terpaksa menempuh banyak dugaan. Hati saya puas dan lega selepas dia ditahan polis, ramai pekerja di syarikat itu sudah lama terseksa angkara dia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed yang dihubungi mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan beberapa kes penipuan.